// July 1st, 2011 // No Comments » // info islam

Salam pembaca sekalian. Hari ini aku nak menyentuh tentang satu hari di bulan Rejab. Peristiwa yang sangat istimewa yang telah berlaku pada Rasulullah dua tahun sebelum hijrah. Peristiwa yang mana bermulanya di syariatkan solat. Peristiwa yang di anggap dogeng oleh munafik munafik dan kafir di zaman Rasulullah iaitu lah Isra’ dan Mi’raj.
Apa yang di maksudkan dengan Isra’ ?
Perjalanan dari Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Ketika itu Rasulullah s.a.w berbaring-baring bersama Saidina Hamzah dan Saidina Ja’afar di Hijr Ismail (Masjidil Haram), tiba-tiba datang malaikat Jibril dan Mikail mengangkat Baginda ke telaga Zamzam.
Di sana Rasulullah s.a.w ditelentangkan dan berlakulah pembedahan di mana dada Baginda dibedah untuk dikeluarkan hatinya dan dicuci dengan air zamzam. Kemudian dimasukkan semula bersama unsur ruhani iman dan hikmat. Setelah itu dadanya dijahit dan dimatrikan dengan khatimin nubuwwah.
Selesai Rasulullah s.a.w menjalani operasi pembersihan jasmani dan rohani, Baginda dipersilakan oleh Jibril untuk menunggang sejenis kenderaan yang amat canggih iaitu Buraq sehingga sampailah di suatu tempat bernama Thaibah (Madinah). Di sini Jibril menyuruh Rasulullah s.a.w berhenti untuk melakukan solat dua rakaat dan memberitahu di sinilah kelak Baginda akan melakukan hijrah.
Kemudian perjalanan diteruskan lagi hingga sampai di satu tempat iaitu Bukit Tursina, iaitu tempat di mana Nabi Musa menerima wahyu. Di sini Rasulullah s.a.w berhenti untuk melakukan solat dua rakaat.
Perhentian seterusnya ialah di Baitul Laham, tempat kelahiran Nabi Isa, di mana Rasulullah s.a.w sekali lagi mengerjakan solat.
Selepas menyaksikan pelbagai jenis panorama, akhirnya sampailah mereka di Baitul Maqdis. Di sana telah menanti satu jemaah para nabi terdahulu. Rasulullah s.a.w solat tahiyatul masjid dan Jibril menyuruh Baginda mengimami solat bersama barisan nabi terdahulu.
Kemudian Rasulullah s.a.w dihidangkan dengan tiga gelas minuman berisi susu, arak dan madu. Baginda memilih gelas berisi susu, minuman fitrah manusia. Selesai upacara Isra’ disini.
Apa pula yang di sebut dengan Mi’raj?
Mi’raj adalah perjalanan Rasulullah dari bumi (Baitul Maqdis) menuju langit hingga ke Sidratul Muntaha.
Setiap kali melalui lapisan langit, Jibril memberi salam dan sebaik Malaikat penjaga langit membuka pintu, Baginda diperkenalkan dengan nabi yang sedia menunggu di situ. Kesemua nabi mendoakan kesejahteraan ke atas Rasulullah s.a.w.
Dalam perjalanan, Rasulullah s.a.w diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa simbolik yang ganjil-ganjil.
Setiap kali melihatnya, Jibril menerangkan hakikat sebenar peristiwa tersebut. Di antaranya adalah:
- Jin Ifrit membawa obor (api) sambil mengejar Nabi dari belakang
|
- Malaikat Jibril ajarkan doa menangkis serangan jin. Apabila Nabi membacanya, jin tersungkur
|
- Sekumpulan manusia memecahkan kepala sendiri. Apabila bercantum dipecahkan lagi tanpa henti
|
- Balasan bagi orang yang tidak mengerjakan sembahyang
|
- Sekumpulan manusia memakai cawat dihalau untuk makan buah berduri yang amat pahit atau api neraka
|
- Balasan bagi mereka yang tidak mengeluarkan zakat
|
- Sekumpulan manusia dihidangkan dengan 2 mangkuk berisi daging masak dan daging mentah yang busuk. Mereka memilih daging mentah
|
- Gambaran manusia yang berzina sedangkan mereka mempunyai pasangan yang sah.
|
- Beberapa orang tidak berdaya mengangkat seberkas kayu tetapi menambahkan lagi bebanan
|
- Gambaran orang yang diamanahkan sesuatu tugas, walaupun tidak mampu melaksanakannya tapi menerima amanah/tugas lain.
|
- Beberapa orang menggunting lidah dan bibir sendiri dengan gunting besi. Apabila bersambung, digunting lagi tanpa henti
|
- Perbandingan orang yang menyuruh orang lain berbuat baik tapi dia sendiri tidak melakukannya.
|
- Sekumpulan orang berkuku tembaga menggaru muka dan dadanya sendiri sehingga habis daging, namun masih menggaru lagi
|
- Gambaran orang yang mengumpat dan membuka rahsia orang kepada orang lain serta menjatuhkan maruah mereka.
|
- Seekor lembu keluar daripada satu lubang yang sempit, kemudian cuba masuk semula ke lubang itu tetapi tidak boleh
|
- Gambaran pasangan lelaki dan perempuan asing berbual perkara lucah, kemudian menyesal tapi tidak mampu menarik perkataannya.
|
- Seorang lelaki datang dari arah kanan Nabi meminta Nabi berhenti seolah-olah hendak bertanya sesuatu
|
- Seruan orang Yahudi. Jibril menerangkan jika Nabi melayan, nescaya ramai umatnya menjadi Yahudi
|
- Seorang lagi datang dari arah kiri merayu Nabi supaya berhenti
|
- Seruan orang Nasrani menghalang sebaran Islam
|
- Seorang wanita dengan perhiasan yang sarat meminta Nabi berhenti
|
- Gambaran tipu daya dunia. Jika Nabi menjawab ramai akan terpesona dengan keduniaan.
|
- Orang tua duduk di tepi jalan seraya menyuruh Nabi berhenti
|
- Seruan Iblis cuba menghalang usaha dakwah
|
- Seorang wanita bongkok tiga menahan Nabi untuk bertanya sesuatu
|
- Gambaran umur dunia yang sangat tua dan tunggu saat untuk kiamat
|
- Nabi tercium bau yang amat harum
|
- Tempat Mashitah dibunuh kerana mempertahankan keimanannya sehingga dia dan keluarga menjadi mangsa kepada Firaun.
|
- Kayu merentangi jalan sehingga menyukarkan orang lalu-lalang
|
- Gambaran orang yang suka berpeleseran dan melepak
|
- Sekumpulan orang berenang dalam sungai darah. Mereka dilempar dengan batu. Batu-batu itu diambil dan dimakannya
|
- Gambaran orang yang makan riba’
|
- Sekumpulan manusia menanam gandum. Sesaat kemudian berbuah dan dituai.
|
- Gambaran orang yang suka membelanjakan harta untuk perjuangan menegakkan kalimah Allah.
|
Dalam perjalanan Mi’raj dari Baitul Maqdis naik hingga ke Sidratul Muntaha melalui tujuh lapisan langit, Rasulullah s.a.w berjaya menempuh pelbagai ujian dan rintangan sehingga ke Mustawa. Di sini Malaikat Jibril berhenti kerana tidak mampu melangkah lebih jauh lagi.
Rasulullah s.a.w meneruskan perjalanan bersendirian hingga ke ‘Arasy. Inilah kemuncak yang paling agung, di mana Baginda menerima perintah solat 50 waktu sehari semalam.
Atas nasihat Nabi Musa, Rasulullah s.a.w merayu kepada Allah untuk dikurangkan sehinggalah menjadi 5 kali sehari semalam. Inilah mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Baginda sebagai satu pengiktirafan Allah kepada Nabi dan Rasul teragung sepanjang zaman.
Pelbagai pengajaran dan pelajaran yang kita dapat dari pengalaman Rasulullah ini. Adakah kita sedar bahawa kita ini ummat Nabi Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wasallam? Kenapa kita masih mengingkari apa yang Nabi ajarkan? Kenapa masih kita keras dengan ego syaitan yang terbatu di hati kita? Perkara yang pertama nanti juga yang Allah akan soal adalah solat. Kalau baik solatnya, maka baiklah amalan yang lain. Jangan kita memandang ringan tentang azab Allah. Yang buruk dari kelemahan aku dan yang baik semua dari Allah jua. DIA lah tempat aku kembalikan segala puja dan pujian.
wallahu’alam.