Posts Tagged ‘doa antara dua sujud’

antara dua sujud

// January 10th, 2011 // 4 Comments » // info islam

Assalamualaikum. Harapan anda sihat bersama tersayang. Aku mula bertanya pada diri kerdil ini. Apa mampu manusia solat dengan pantas? Aku tak hairan sepantas kilat sekalipun sesorang itu solat. Kehairanan aku bermula bila aku bertanya, kenapa dia solat? untuk apa dia solat? soal diterima atau tidak bukan bidang kuasa aku.

Mari kita lihat, mengapa kita solat sehari semalam 5 waktu.

“Dan tidaklah AKU menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKU” (Adz Dzariyat : 56)

“ Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Al-Ankabut : 45)

Kita sebagai hambaNya perlu solat tidak kira bertapa susah keadaan kita. Jika tidak dapat berdiri, maka duduklah. Jika uzur tidak dapat duduk, maka baringlah. Jika tidak dapat bergerak sama sekali, maka gunakanlah mata. Perkara utama yang di soal pada hari akhirat adalah solat. Kalau baik solatnya, akan diperlihat amalan yang lain. Kalau buruk solatnya, sesungguhnya, azab Allah amatlah pedih. Khusyuk didalam solat adalah penting untuk memastikan solat yang berkualiti. Solat yang berkualiti dapat mendekatkan kita dengan kemanisan dalam beribadat. Jika kita teliti makna bacaan dalam solat, sedikit sebanyak dapat kita khusyukan solat kita.

Dalam solat kita seharian, tidak dapat tidak kita akan melalui langkah ini dalam solat. Langkah yang disebut sebagai “duduk diantara dua sujud”. Saudaraku, sangat ramai yang tidak faham ataupun tidak tahu tentang bacaan dalam duduk antara dua sujud itu. Bacaan pada waktu ini adalah satu satunya waktu untuk berdoa pada Allah dalam solat kita. Aku suka untuk singkapkan perihal begini. Setelah sujud yang pertama, bangun dan duduklah dengan sempurna, lalu membaca:

“Rabbighfirli (Tuhanku, ampuni aku)”

Diam sejenak, hayatilah maksud ini semasa membuat bacaan.
Ulangi permintaan itu beberapa kali hingga kita merasakan ketenangan.

Kemudian sampaikanlah permintaan kedua,

“Warhamni (sayangi aku)”

Diam dan tundukkanlah diri kita untuk menerima kasih sayang Allah yang tak terhitung besarnya.
Ulanglah beberapa kali hingga kita merasa cukup.

Kemudian, berturut turut sampaikanlah permintaan berikut dengan cara sebagaimana tersebut di atas, satu persatu.

“Wajburnii (tutuplah aib-aibku)”

“Warfa’nii (angkatlah darjatku)”

“Warzuqnii (berilah aku rezeki)”

“Wahdinii (berilah aku petunjuk)”

“Wa’Aafinii (sihatkan aku)”

“Wa’fuannii (maafkan aku)”

Setelah selesai, diamlah sejenak, kemudian lahirkan rasa syukur kita kepada Allah.

Adakah terlalu menyusahkan walaupun meminta untuk diri sendiri? Luangkan masa mu dengan Allah.
Dalam 24 jam yang Allah beri, gunakanlah sebaiknya masa yang diberi. Luangkan masa mu dengan Allah.
Jangan kamu sombong dengan merasa sudah cukup dan tak perlu meminta pada Allah. Luangkan masa mu dengan Allah.

seruan kebangkitan!
muhammad fared syauky