Archive for info islam

Keluar Dari Cahaya

// November 20th, 2011 // 1 Comment » // Uncategorized, filem, gambar, hariku, info islam

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dewasa ini, laman sosial amat terkenal dan mudah untuk di guna pakai. Tiada had umur untuk mendaftar. Sesiapa sahaja mampu untuk memiliki. Laman sosial seperti facebook mempunyai pelbagai kegunaan. Ada yang menjana wang dengan membuka kedai kedai online. Ada juga yang memasarkan servis mereka di laman tersebut. Laman yang tiada had ini baik jika digunakan dengan betul dan aman. Ada juga yang salah dalam menggunakannya. Dari apa yang aku baca dan tahu, ada laman di dalam facebook yang menghimpunkan melayu Malaysia yang murtad (keluar dari agama) dan Free Thinker (tidak percaya tuhan). Ini sama sekali tidak benar dan sesat!

Sebagai seorang muslim dan mukmin, aku terpanggil untuk pertahankan tiang agamaku dari dirobohkan dan dibinasa musuh musuh Allah ini. Contoh seperti seorang user di facebook yang menggunakan nama HAJJAH SITT AL-WUZARA telah membuat huru hara dengan menggunakan gambar kaabah dan dimanipulasikan dengan gambar wanita dari luar negara yang duduk diatas kaabah. Kemudian dia telah meng’remix’kan surah dari al-Quran dengan lagu dari barat di youtubenya. Subhanallah, tak dapat akubayangkan bertapa hitam dan jijiknya hati saudari berkenaan. Ada pula group di facebook juga yang bertajuk Murtad di Malaysia dan Singapura. Group ini bertujuan bagi membolehkan orang ramai atau orang yang telah murtad, tetapi tiada kawan murtad untuk berhubung dengan menceritakan hal masing masing dan menghina Rasulullah. Di selit pula dengan laman Free Thinker yang mana ramai melayu yang menyertainya.

Tak cukup dengan Murtad, Free Thinker, Gay juga turut bertindak berani dengan memperlihatkan wajah mereka pada umum. Kononya mereka gay dan tidak menggangu orang lain. Mereka gay dan muslim. Mereka lebih pandai dan lebih ilmu dari orang lain. Tiada orang yang boleh menasihati mereka kecuali dari kaum mereka sendiri. Ada pula yang mempersoalkan kembali, apabila di tanya “tak takutkah nanti Nabi tidak mahu mengaku dari umatnya?” gay mempersoalkan kembali, “adakah kamu (orang yang bertanya) akan Nabi mengaku dari umatnya?” MasyaAllah, bertapa jahilnya soalan yang keluar dari hati menerusi jari jemarinya. Ada pula yang beranggapan, jika seseorang tidak penuh ilmu di dada, maka dia tidak layak untuk berdakwah. Jika seorang pendakwah itu perlu penuhi ilmu di dada, kemudian baru berdakwah, maka tiadalah pendakwah di atas muka bumi ini.

Aku sedih, dan terjerit batin halusku ini. Aku tanya, di mana silapnya. Aku selidik nota semalam, ternyata berhabuk dan kotor. Aku sorang yang dilahirkan Muslim, insyaAllah dalam perjalanan menjadi Mukmin di jalanNya dan mati dalam agamaNya; tidak akan berdiam diri. Aku wajib menyampaikan kebencian ini walau dengan hati; kerana itu adalah se lemah iman. Aku menyeru pada kalian, marilah, kita bangkit semula. Demi memperjuangkan agama Islam dan di cintai ini, melalui angin yang sentiasa bergerak kesana sini. Apa yang paling aku harapkan, kudrat kita, biar tidak berkesan seminit lagi, tapi akan terkesan esok hari, untuk mereka yang akan menghadiahi kita sewaktu di pembaringan. Selamatkan generasi kita.

Isra’ dan Mi’raj

// July 1st, 2011 // No Comments » // info islam

Salam pembaca sekalian. Hari ini aku nak menyentuh tentang satu hari di bulan Rejab. Peristiwa yang sangat istimewa yang telah berlaku pada Rasulullah dua tahun sebelum hijrah. Peristiwa yang mana bermulanya di syariatkan solat. Peristiwa yang di anggap dogeng oleh munafik munafik dan kafir di zaman Rasulullah iaitu lah Isra’ dan Mi’raj.

Apa yang di maksudkan dengan Isra’ ?

Perjalanan dari Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Ketika itu Rasulullah s.a.w berbaring-baring bersama Saidina Hamzah dan Saidina Ja’afar di Hijr Ismail (Masjidil Haram),  tiba-tiba datang malaikat Jibril dan Mikail mengangkat Baginda ke telaga Zamzam.

Di sana Rasulullah s.a.w ditelentangkan dan berlakulah pembedahan di mana dada Baginda dibedah untuk dikeluarkan hatinya dan dicuci dengan air zamzam. Kemudian dimasukkan semula bersama unsur ruhani iman dan hikmat. Setelah itu dadanya dijahit dan dimatrikan dengan khatimin nubuwwah.

Selesai Rasulullah s.a.w menjalani operasi pembersihan jasmani dan rohani, Baginda dipersilakan oleh Jibril untuk menunggang sejenis kenderaan yang amat canggih iaitu Buraq sehingga sampailah di suatu tempat bernama Thaibah (Madinah). Di sini Jibril menyuruh Rasulullah s.a.w berhenti untuk melakukan solat dua rakaat dan memberitahu di sinilah kelak Baginda akan melakukan hijrah.

Kemudian perjalanan diteruskan lagi hingga sampai di satu tempat iaitu Bukit Tursina, iaitu tempat di mana Nabi Musa menerima wahyu. Di sini Rasulullah s.a.w berhenti untuk melakukan solat dua rakaat.

Perhentian seterusnya ialah di Baitul Laham, tempat kelahiran Nabi Isa, di mana Rasulullah s.a.w sekali lagi mengerjakan solat.

Selepas menyaksikan pelbagai jenis panorama, akhirnya sampailah mereka di Baitul Maqdis. Di sana telah menanti satu jemaah para nabi terdahulu. Rasulullah s.a.w solat tahiyatul masjid dan Jibril menyuruh Baginda mengimami solat bersama barisan nabi terdahulu.

Kemudian Rasulullah s.a.w dihidangkan dengan tiga gelas minuman berisi susu, arak dan madu. Baginda memilih gelas berisi susu, minuman fitrah manusia. Selesai upacara Isra’ disini.

Apa pula yang di sebut dengan Mi’raj?

Mi’raj adalah perjalanan Rasulullah dari bumi (Baitul Maqdis) menuju langit hingga ke Sidratul Muntaha.

Setiap kali melalui lapisan langit, Jibril memberi salam dan sebaik Malaikat penjaga langit membuka pintu, Baginda diperkenalkan dengan nabi yang sedia menunggu di situ. Kesemua nabi mendoakan kesejahteraan ke atas Rasulullah s.a.w.

Dalam perjalanan, Rasulullah s.a.w diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa simbolik yang ganjil-ganjil.

Setiap kali melihatnya, Jibril menerangkan hakikat sebenar peristiwa tersebut. Di antaranya adalah:

  • Jin Ifrit membawa obor (api) sambil mengejar Nabi dari belakang
  • Malaikat Jibril ajarkan doa menangkis serangan jin. Apabila Nabi membacanya, jin tersungkur
  • Sekumpulan manusia memecahkan kepala sendiri. Apabila bercantum dipecahkan lagi tanpa henti
  • Balasan bagi orang yang tidak mengerjakan sembahyang
  • Sekumpulan manusia memakai cawat dihalau untuk makan buah berduri yang amat pahit atau api neraka
  • Balasan bagi mereka yang tidak mengeluarkan zakat
  • Sekumpulan manusia dihidangkan dengan 2 mangkuk berisi daging masak dan daging mentah yang busuk. Mereka memilih daging mentah
  • Gambaran manusia yang berzina sedangkan mereka mempunyai pasangan yang sah.
  • Beberapa orang tidak berdaya mengangkat seberkas kayu tetapi menambahkan lagi bebanan
  • Gambaran orang yang diamanahkan sesuatu tugas, walaupun tidak mampu melaksanakannya tapi menerima amanah/tugas lain.
  • Beberapa orang menggunting lidah dan bibir sendiri dengan gunting besi. Apabila bersambung, digunting lagi tanpa henti
  • Perbandingan orang yang menyuruh orang lain berbuat baik tapi dia sendiri tidak melakukannya.
  • Sekumpulan orang berkuku tembaga menggaru muka dan dadanya sendiri sehingga habis daging, namun masih menggaru lagi
  • Gambaran orang yang mengumpat dan membuka rahsia orang kepada orang lain serta menjatuhkan maruah mereka.
  • Seekor lembu keluar daripada satu lubang yang sempit, kemudian cuba masuk semula ke lubang itu tetapi tidak boleh
  • Gambaran pasangan lelaki dan perempuan asing berbual perkara lucah, kemudian menyesal tapi tidak mampu menarik perkataannya.
  • Seorang lelaki datang dari arah kanan Nabi meminta Nabi berhenti seolah-olah hendak bertanya sesuatu
  • Seruan orang Yahudi. Jibril menerangkan jika Nabi melayan, nescaya ramai umatnya menjadi Yahudi
  • Seorang lagi datang dari arah kiri merayu Nabi supaya berhenti
  • Seruan orang Nasrani menghalang sebaran Islam
  • Seorang wanita dengan perhiasan yang sarat meminta Nabi berhenti
  • Gambaran tipu daya dunia. Jika Nabi menjawab ramai akan terpesona dengan keduniaan.
  • Orang tua duduk di tepi jalan seraya menyuruh Nabi berhenti
  • Seruan Iblis cuba menghalang usaha dakwah
  • Seorang wanita bongkok tiga menahan Nabi untuk bertanya sesuatu
  • Gambaran umur dunia yang sangat tua dan tunggu saat untuk kiamat
  • Nabi tercium bau yang amat harum
  • Tempat Mashitah dibunuh kerana mempertahankan keimanannya sehingga dia dan keluarga menjadi mangsa kepada Firaun.
  • Kayu merentangi jalan sehingga menyukarkan orang lalu-lalang
  • Gambaran orang yang suka berpeleseran dan melepak
  • Sekumpulan orang berenang dalam sungai darah. Mereka dilempar dengan batu. Batu-batu itu diambil dan dimakannya
  • Gambaran orang yang makan riba’
  • Sekumpulan manusia menanam gandum. Sesaat kemudian berbuah dan dituai.
  • Gambaran orang yang suka membelanjakan harta untuk perjuangan menegakkan kalimah Allah.

Dalam perjalanan Mi’raj dari Baitul Maqdis naik hingga ke Sidratul Muntaha melalui tujuh lapisan langit, Rasulullah s.a.w berjaya menempuh pelbagai ujian dan rintangan sehingga ke Mustawa. Di sini Malaikat Jibril berhenti kerana tidak mampu melangkah lebih jauh lagi.

Rasulullah s.a.w meneruskan perjalanan bersendirian hingga ke ‘Arasy. Inilah kemuncak yang paling agung, di mana Baginda menerima perintah solat 50 waktu sehari semalam.

Atas nasihat Nabi Musa, Rasulullah s.a.w merayu kepada Allah untuk dikurangkan sehinggalah menjadi 5 kali sehari semalam. Inilah mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Baginda sebagai satu pengiktirafan Allah kepada Nabi dan Rasul teragung sepanjang zaman.

Pelbagai pengajaran dan pelajaran yang kita dapat dari pengalaman Rasulullah ini. Adakah kita sedar bahawa kita ini ummat Nabi Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wasallam? Kenapa kita masih mengingkari apa yang Nabi ajarkan? Kenapa masih kita keras dengan ego syaitan yang terbatu di hati kita? Perkara yang pertama nanti juga yang Allah akan soal adalah solat.  Kalau baik solatnya, maka baiklah amalan yang lain. Jangan kita memandang ringan tentang azab Allah. Yang buruk dari kelemahan aku dan yang baik semua dari Allah jua. DIA lah tempat aku kembalikan segala puja dan pujian.

wallahu’alam.

neraka

// June 30th, 2011 // No Comments » // info islam

Abu Hurairah meriwayatkan:

“Ketika Rasulullah berkata: Api dunia kamu adalah satu dari 70 bahagian api neraka;”lalu seseorang bertanya;”Ya Rasulullah, adakah ia tidak akan mencukupi untuk membakar orang kafir? Maka Rasulullah menjawab “Api neraka mempunyai 69 bahagian lebih dari api biasa di dunia,dan kesemuanya adalah sangat panas sebagaimana ia (api dunia). Riwayat Bukhari.

KESAN NERAKA PADA DUNIA KINI

Kesan-kesan kehebatan neraka dapat dirasai di dunia ini lagi berdasarkan hadis Rasulullah:

Diriwayat oleh Abu Hurairah:

Rasulullah bersabda: Api neraka mengadu kepada Allah dengan berkata;”Hai Tuhanku,bahagian-bahagian padaku memakan di antara satu sama lain. “Lalu Allah membenarkannya mengambil dua pernafasan iaitu pada musim sejuk dan pada musim panas. Inilah sebabnya mengapa kamu terasa terlalu panas dan terlalu sejuk,”
Riwayat Bukhori

MAKANAN PENDUDUK NERAKA

Penduduk neraka tetap diberi makanan walaupun makanan ini tidak menyuburkan badan mereka.

Firman Allah:

Mereka tidak memperolehi makanan selain dari pohon yang berduri,yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar.”

Al Ghasiyah 6-7

MINUMAN AHLI NERAKA

1.Hamim(air yang mendidih)

Firman Allah:
“Inilah neraka Jahannam yang didustakan oleh orang-orang yang berdosa.Mereka berkeliling di antaranya dan di antara air yang mendidih yang memuncak panasnya.”

2.Ghassaq(nanah dan darah)

Firman Allah:
“Maka tiada seorang teman pun baginya pada hari ini di sini.Dan tiada makanan sedikit pun kecuali dari darah dan nanah. Tidak ada yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa.” Al Haqqah 35-37

3.Sadid(air danur(nanah)yang keluar dari tubuh ahli neraka)

Firman Allah:”Dihadapan mereka ada neraka Jahannam,dan ia diberi minum dari air danur(nanah yang keluar dari tubuh ahli neraka.” Ibrahim 16

4.Air seperti Tembaga cair

Firman Allah:
“Dan jika mereka meminta minum,nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti tembaga yang mendidih yang menghanguskan muka mereka.Itulah minuman yang paling buruk dan tempat rehat yang paling hina.” Al Kahfi 29.

PAKAIAN AHLI NERAKA

1.Pakaian dari api

Firman Allah:
“Inilah dua golongan(mukmin dan kafir) yang bertengkar,mereka saling bertengkar mengenai tuhan mereka.Maka orang kafir akan dibuatkan untuk mereka pakaian dari api neraka.Disiramkan air yang sedang mendidih ke atas kepala mereka.” Al Hajj 19

2.Pakaian dari minyak tar

Firman Allah:
“Pakaian mereka adalah dari minyak tar dan muka mereka diliputi oleh jilatan api neraka.” Ibrahim 50.

BAHAN BAKAR API NERAKA

Bahan bakar neraka adalah terdiri dari manusia dan jin yang kafir dan engkar kepada Allah,batu-batu termasuk patung berhala.Firman Allah;

“Hai orang yang beriman.Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;penjaganya malaikat yang kasar,yang keras yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang
diperintahkanNya dan mengerjakan apa yang diperintahkanNya.” At Tahrim 6

PENDUDUK NERAKA

Imran b Husin meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:

“Aku melihat ke dalam syurga dan mendapati majoriti penduduknya adalah orang miskin,dan aku melihat ke dalam neraka,aku mendapati majoriti penduduknya adalah wanita,” Riwayat Bukhori.

NAMA-NAMA NERAKA

Neraka mempunyai beberapa nama sebagaimana telah disebutkan di dalam Al Quran, iaitu:

1.Jahannam –

Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya neraka Jahannam itu (padanya) ada tempat pengintai.” An- Naba:21

2.Latho

Firman Allah yang bermaksud “Sekali-kali tidak dapat sesungguhnya neraka (Latho) itu adalah api yang berganjak, yang mengelupaskan kulit kepala” -
Al- Ma’arij; 15-16.

3.Al-Hutamah

“Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Hutamah. Dan tahukah kamu apa Hutamah itu? Iaitu api yang disediakan Allah yang dinyalakan, yang naik sampai ke hati.” Al – Humazah 4-7

4.Sa’ir

Yang disebutkan dalam surah Asy-Syura:7 bermaksud: ..Sesungguhnya masuk ke syurga dan segolongan masuk ke neraka sa’ir.’

5.Saqar

Firman Allah yang bermaksud ” Aku akan memasukkannya ke dalam neraka Saqar. Tahukah kamu apakah neraka Saqar itu? Saqar itu tidak meninggalkan dan tidak membiarkan (Neraka Saqar) adalah pembakar kulit manusia.”

6.Al- Jahim

” Dan diperlihatkan dengan jelas neraka Jahim kepada orang-orang yang sesat.” Asy-Syura :91

7.Al- Hawiyah

” Dan adapun orang-orang yang ringan timbangan (kebaikan)nya, maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah. …. iaitu api yang sangat panas. Al- Qari’ah;8-11.

PENJAGA NERAKA

Al Quran menyebutkan bahawa jumlah penjaga neraka itu sembilan belas seperti yang difirmankan oleh Allah dalam surah Al-Muddaththir ayat 30-31. Salah satu dari sembilan belas itu adalah Malik,penjaga pintu neraka. Allah telah menyebutkan namanya dalam Al-Qur’an yang bermaksud: ” Mereka berseru, Hai Malik, biarlah Tuhanmu membunuh kami sahaja. `Dia menjawab; Kamu akan
tetap tinggal di neraka ini.”

wallahua’lam.

Istidraj

// June 29th, 2011 // 2 Comments » // info islam

Di dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang manusia lebih-lebih lagi manusia muslim, Allah SWT akan menguji kita dengan pelbagai bentuk ujian. Secara mudahnya ujian Allah SWT ke atas manusia ada dua bentuk. Yang pertama dalam bentuk nikmat dan yang kedua dalam bentuk bala.

Contoh ujian Allah SWT dalam bentuk nikmat antara lain ialah pangkat, kedudukan, kuasa, kekayaan, kemewahan, sihat tubuh badan, tidak pernah sakit dan banyak lagi. Manakala ujian Allah SWT dalam bentuk bala antara lain ialah tiada pangkat dan kedudukan, tidak memiliki kuasa, kemiskinan, kemelaratan hidup, sakit, kematian ahli keluarga terdekat dan banyak lagi. Kebanyakan manusia muslim dan mukmin mampu mengharungi ujian Allah SWT dalam bentuk bala ini. Malangnya  ramai manusia termasuk yang muslim tetapi tidak mukmin gagal mengharungi ujian Allah SWT dalam bentuk nikmat.

Ramai manusia yang hanyut dengan nikmat Allah SWT dan tidak sedikit pula yang menjadi riak, sombong, angkuh, takbur dan ada yang mengaku menjadi tuhan dengan nikmat yang Allah SWT berikan kepada mereka. Contoh klasik yang patut di fikirkan tentang jenis manusia yang mendapat nikmat tetapi lupa kepada Allah SWT ialah Firaun, Qarun, Namrud dan banyak lagi. Mereka ini semuanya ditimpa dengan bala bencana dan kemudiannya dimusnahkan oleh Allah SWT.  Tidakkah terfikir oleh kita kenapa sesudah diberikan dengan pelbagai nikmat, Allah SWT musnahkan pula mereka dan segala nikmat yang telah mereka perolehi.

Perkara inilah yang dinamakan istidraj. Pemberian nikmat oleh Allah SWT kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Kenapa pula terjadi beri tetapi tidak redha. Inilah satu kaedah Allah SWT berurusan dengan manusia yang tidak tahu bersyukur dan ingkar dengan perintahnya. Pelbagai nikmat telah diberikan tetapi manusia tidak beriman dan bersyukur sebaliknya menjadi betambah angkuh, sombong, bongkak , takabur dan kafir terhadap Allah SWT. Dalam hal ini tidak hairanlah jika Allah SWT  beri tetapi tidak meredhainya.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat bahawa Allah SWT memberikan nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (dosa) ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT”. (Diriwayatkan oleh: At-Tabrani, Ahmad danAl-Baihaqi)

Agak malang bagi manusia yang melakukan dosa dan maksiat ini kerana terkeliru dengan pemikirannya yang merasakan bahawa nikmat yang melimpah ruah itu tadi sebagai tanda Allah SWT bersama dan meredhai perbuatannya. Mereka dilalaikan oleh syaitan dengan nikmat itu tadi sehingga tidak terfikir bahawa nikmat yang banyak inilah yang bakal memusnahkan hidup mereka.

Sebenarnya manusia yang telah diistidraj adalah jenis manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat dosa dan maksiat masih merasakan Allah SWT amat menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang kuat beramal soleh. “Dia tu siang malam ke masjid tetapi basikalpun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadatnya tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong”. Sebenarnya nikmat yang banyak Allah SWT berikan kepadanya adalah bertujuan untuk menghancurkannya.

Rasulullah SAW bersabda: Apabila Allah SWT menghendaki untuk membinasakan semut, maka Allah SWT terbangkan semut itu dengan dua sayapnya”

Sebagai contoh perbandingan daripada hadis ini ialah bangaimana Allah SWT memusnahkan anai-anai. Anai-anai, jika tidak bersayap akan duduk diam di dalam busut, atau merayap di dalam kayu, atau di bawah batu dan di celah-celah timbunan daun kering.  Bila Allah SWT berikan sayap anai-anai berubah menjadi kelkatu. Timbul sifat sombongnya bila mendapt sayap (nikmat) lalu cuba melawan api atau cahaya. Maka anai-anai tadi akan binasa dan mati. Begitu juga dengan manusia, bila dapat nikmat (kekayaan, kemewahan, pangkat, kedudukan, kuasa dan sebagainya) akan cuba melawan Allah SWT dengan cara tidak beriman dan tidak bersyukur kepadaNya. Maka manusia itu tadi dibinasakan oleh Allah SWT dengan pebagai cara dan mati.

Sebagai buktinya ialah Firaun. Tidak ada orang yang memiliki kuasa dan kedudukan yang hebat dan luar biasa melainkan Firaun. Nikmat yang Allah SWT berikan kepadanya tidak terkira. Kuasanya tiada tandingan, semua orang tuduk dan patuh kepada kehendaknya, kekayaannya melimpah ruah, tidak pernah sakit, bersin pun tak pernah kerana Allah SWT berikan nikmat sihat yang luar biasa kepadanya. Allah SWT berikan semua ini kerana Allah SWT telah menistidrajkan Firaun. Firaun menjadi angkuh, sombong, bongkak dan takbur sehingga peringkat mengaku dirinya tuhan.  Dalam hidupnya dia tidak pernah bersyukur. Dia melawan Allah SWT tanpa henti.   Akhirnya dengan nikmat itulah Allah SWT binasakannya.

Firaun sudah binasa. Hanya tinggal sebagai bahan sejarah untuk renungan umat yang terkemudian iaitu kita di hari ini. Walaupun Firaun sudah tiada, orang yang memiliki sifat dan perangai sepertinya masih ramai di bumi Allah ini. Orang seperti ini juga pasti binasa kerana telah diistidrajkan oleh Allah SWT. Hanya menunggu saat dan ketikanya sahaja. Contoh klasik daripada kejadian kemusnahan yang menimpa Firaun ini patut dijadikan sebagai iktibar dan teladan oleh mereka yang memiliki sifat dan perangai sepertinya.

Namrud yang kuat menyembah patung dan sangat berkuasa cuba untuk membakar Nabi Ibrahim AS. Oleh kerana terlalu berkuasanya Namrud menjadikan dia begitu marah dengan sesiapa sahaja yang menentang kekuasaannya. Kekuasan yang tiada tolok banding yang Allah SWT berikan kepada Namrud juga satu bentuk istidraj. Dia begitu sombong dan melawan Allah SWT yang telah menciptakannya. Akhirnya Allah SWT binasakan dengan menghantar tenteranya dalam bentuk nyamuk sahaja. Namrud dan pengikutnya dibinasakan. Salah seekor nyamuk memasuki lubang hidungnya dan Namrud pun binasa. Amat mudah bagi Allah SWT memusnahkan sesiapa yang dikehendakiNya.

Tidak ada manusia di muka bumi Allah SWT ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dipikul oleh 40 ekor unta. Bayangkanlah!. Itu baru anak kunci gudang hartanya. Hartanya bagaimana?. Hanya Allah SWT yang tahu betapa kayanya manusian bernama Qarun ini. Ini pun istidraj juga namanya. Qarun sangat kaya tetapi sangat kuat melawan Allah SWT. Dia tidak pernah sujud dan bersyukur kepada Allah SWT. Akhirnya Allah SWT binasakannya dengan ditengelamkan bersama-sama hartanya.

Jika kita fikir secara halus dan terperinci, maka terjawablah segala keraguan yang menggangu fikiran kita. Mengapa orang kafir sangat berkuasa dan kaya, orang yang berbuat dosa dan maksiat sangat berkuasa dan kaya, Amerika dan Israel sangat hebat, berkuasa dan kaya. Jawapannya mereka telah diistidrajkan oleh Allah SWT.  Segala bentuk nikmat yang Allah SWT berikan kepada mereka tidak dengan keredhaanNya dan bertujuan untuk menghancurkannya. Hanya masa dan ketika sahaja untuk melihat mereka ditimpa kemusnahan seperti umat yang terdahulu. Yakin dan percayalah bahawa Allah SWT itu lebih mengetahui segala sebab musabab sesuatu itu dijadikanNya.

Sebagai kesimpulannya, apabila kita benar-benar memahami maksud istidraj sudah pasti tidak berlaku salah persepksi terhadap istilah istidraj ini. Tidak semestinya orang yang berpangkat, berkuasa, memiliki kekayaan, kemewahan, sihat dan tidak pernah sakit kita katakkan orang ini telah diistidrajkan oleh Allah SWT. Dengan pelbagai nikmat yang mereka perolehi kemudian mengabdikan diri kepada Allah dengan cara bersyukur dan melakukan suruhan serta meninggalkan laranganNya maka orang ini tidaklah diistidrajkan. Inilah sebaik-baik cara apabila kita memperolehi apa sahaja nikmat daripada Allah SWT. Sepatutnya semakin banyak nikmat yang diperolehi semakin rapat dan dekat jiwa kita terhadap Allah SWT. Semakin banyak nikmat yang diperolehi sepatutnya semakin kuat bersyukur dan mencari keredhaanNya serta mengabdikan diri kepadaNya. Orang yang mendapat nikmat dan berbuat seperti ini pasti akan selamat di dunia dan di akhirat.

di karang oleh : Darus Bin Awang.

saf dalam solat

// January 12th, 2011 // 1 Comment » // info islam

Assalamualaikum. Salam untuk saudara saudaraku yang beriman. Jumaat lepas waktu solat Jumaat aku agak berkecil hati, tersentak dan kecewa. Bila Khatib menyebut “akhimisshalah”, dirikan lah solat. Lalu berebut rebutlah manusia yang diluar masjid masuk kedalam. Gembira aku kerana masih ramai yang berebut untuk duduk didepan. Bila tiba di tempat akan aku solat itu aku rapatkan diri dan kaki aku dengan jemaah sebelah kanan aku. Aku beri isyarat pada saudara sebelah kiri aku supaya lebih dekat dan jangan jarakan tempat berdiri untuk menghadap Allah. Tapi dia seperti tidak endahkan isyarat aku. Lalu aku centerkan kedudukan aku, buka kan kaki lebih luas. Tapi masih tak sampai, malah kedua-dua sahabat aku tadi jadi tidak rapat. Aku risau akan memutuskan saf di situ, akhirnya aku rapatkan semula diri aku dengan sahabat sebelah kanan aku. Aku tak faham kenapa yang sebelah kiri tu tak mahu rapat. Agaknya dia ada share ngan iblis kot. Tak pun iblis yang rasuah dia. Maklumlah, zaman sekarang rasuah memang berleluasa. Mari kita tengok apa yang perlu sangat dengan rapatkan saf ni. Bagi mereka yang tak tahu fadhilat rapatkan saf, jom kita berkongsi info ini.

1. Ia merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kesempurnaan solat.

Sabda Rasulullah: Luruskan saf kamu, kerana meluruskan saf merupakan sebahagian kesempurnaan solat. (Riwayat Muslim).

2. Ia adalah faktor yang boleh menyatukan hati umat Islam.

Sabda Rasulullah: Luruskan saf solat kamu dan janganlah kamu bercerai-berai (dalam mendirikan saf), akan tercera-berai hati kamu. (Riwayat Muslim).

Sabda Baginda lagi: Tegakkanlah saf-saf kamu sekalian sebanyak tiga kali, demi Allah (kamu diperintah agar) merapatkan/meluruskan saf-saf kamu, atau Allah akan mencerai-beraikan hati kamu. (Riwayat Abu Daud).

Menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur:
“Dalam perintah meluruskan dan merapatkan saf merupakan unsur pendekat jiwa yang akan menjalinkan hubungan persaudaraan dan keinginan saling menolong. Bagaimana tidak! Bukankah bahu si miskin berhimpitan dengan bahu si konglomerat, kaki si kuat melekat dengan kaki si lemah. Dan semuanya berada dalam satu saf, bagaikan bangunan yang tersusun sangat rapat.”

3. Ia dapat menghindari gangguan syaitan ke atas orang yang bersolat.

Sabda Rasulullah:
Rapatkanlah saf kamu sekalian, dekatkanlah antara saf, tegakkanlah tengkuk kamu. Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman Tangan-Nya, sesungguhnya aku melihat syaitan menyusup di celah-celah saf seperti anak kambing. (Riwayat Abu Daud).

4. Allah mencintai mereka yang menyempurnakan saf.

Sabda Rasulullah:
Tidak ada suatu langkah yang sangat dicintai oleh Allah daripada langkah seseorang hamba untuk menyambung (menyempurnakan) saf (dalam solat). (Riwayat Abu Daud).

5. Ganjaran pahala yang besar bagi mereka yang menyempurnakan saf di dalam solatnya.

Rasulullah bersabda:
Orang yang paling baik di antara kalian adalah seseorang yang paling lembut bahunya di dalam solat, tidak ada suatu langkah yang pahalanya lebih besar daripada langkah seseorang yang melangkah untuk menutup celah dalam saf. (Riwayat Thabrani).

6. Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada mereka yang menyempurnakan saf dalam solat.

Sabda Rasulullah : Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan yang kedua.” Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama. Para sahabat bertanya lagi: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan yang kedua.” Rasulullah menjawab: Ya, juga bagi saf kedua. (Riwayat Ahmad).

Ini pula adalah cara yang salah dalam merapatkan saf

Ini pula adalah cara yang salah dalam merapatkan saf

seruan kebangkitan!
muhammad fared syauky

antara dua sujud

// January 10th, 2011 // 4 Comments » // info islam

Assalamualaikum. Harapan anda sihat bersama tersayang. Aku mula bertanya pada diri kerdil ini. Apa mampu manusia solat dengan pantas? Aku tak hairan sepantas kilat sekalipun sesorang itu solat. Kehairanan aku bermula bila aku bertanya, kenapa dia solat? untuk apa dia solat? soal diterima atau tidak bukan bidang kuasa aku.

Mari kita lihat, mengapa kita solat sehari semalam 5 waktu.

“Dan tidaklah AKU menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKU” (Adz Dzariyat : 56)

“ Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Al-Ankabut : 45)

Kita sebagai hambaNya perlu solat tidak kira bertapa susah keadaan kita. Jika tidak dapat berdiri, maka duduklah. Jika uzur tidak dapat duduk, maka baringlah. Jika tidak dapat bergerak sama sekali, maka gunakanlah mata. Perkara utama yang di soal pada hari akhirat adalah solat. Kalau baik solatnya, akan diperlihat amalan yang lain. Kalau buruk solatnya, sesungguhnya, azab Allah amatlah pedih. Khusyuk didalam solat adalah penting untuk memastikan solat yang berkualiti. Solat yang berkualiti dapat mendekatkan kita dengan kemanisan dalam beribadat. Jika kita teliti makna bacaan dalam solat, sedikit sebanyak dapat kita khusyukan solat kita.

Dalam solat kita seharian, tidak dapat tidak kita akan melalui langkah ini dalam solat. Langkah yang disebut sebagai “duduk diantara dua sujud”. Saudaraku, sangat ramai yang tidak faham ataupun tidak tahu tentang bacaan dalam duduk antara dua sujud itu. Bacaan pada waktu ini adalah satu satunya waktu untuk berdoa pada Allah dalam solat kita. Aku suka untuk singkapkan perihal begini. Setelah sujud yang pertama, bangun dan duduklah dengan sempurna, lalu membaca:

“Rabbighfirli (Tuhanku, ampuni aku)”

Diam sejenak, hayatilah maksud ini semasa membuat bacaan.
Ulangi permintaan itu beberapa kali hingga kita merasakan ketenangan.

Kemudian sampaikanlah permintaan kedua,

“Warhamni (sayangi aku)”

Diam dan tundukkanlah diri kita untuk menerima kasih sayang Allah yang tak terhitung besarnya.
Ulanglah beberapa kali hingga kita merasa cukup.

Kemudian, berturut turut sampaikanlah permintaan berikut dengan cara sebagaimana tersebut di atas, satu persatu.

“Wajburnii (tutuplah aib-aibku)”

“Warfa’nii (angkatlah darjatku)”

“Warzuqnii (berilah aku rezeki)”

“Wahdinii (berilah aku petunjuk)”

“Wa’Aafinii (sihatkan aku)”

“Wa’fuannii (maafkan aku)”

Setelah selesai, diamlah sejenak, kemudian lahirkan rasa syukur kita kepada Allah.

Adakah terlalu menyusahkan walaupun meminta untuk diri sendiri? Luangkan masa mu dengan Allah.
Dalam 24 jam yang Allah beri, gunakanlah sebaiknya masa yang diberi. Luangkan masa mu dengan Allah.
Jangan kamu sombong dengan merasa sudah cukup dan tak perlu meminta pada Allah. Luangkan masa mu dengan Allah.

seruan kebangkitan!
muhammad fared syauky